Hari-hari sebagai seorang isteri sepenuh masa benar-benar membuatkanku letih. Bukan kerana terbeban dengan kerja rumah tetapi kerana aku amat merindui kerjaku sebagai salah seorang perunding majlis. Aku pernah menyuarakan hasrat untuk kembali bekerja namun Adam hanya diam.
Panggilan Anisah beberapa hari lalu benar-benar membuatkanku teruja untuk menyambung kembali kerjayaku itu.
“Kau tak nak ke kerja dengan kami lagi? Kami betul-betul rindukan kehadiran kau di sini.” Sebakku mendengar suara Anisah.
“Bukan aku tak nak tapi Adam tak benarkan,”balasku sayu. Aku terasa seperti kehilangan separuh dari jiwaku ketika menyerahkan surat perletakan jawatan tempoh hari.
“Kau pujuklah dia. Mesti dia bagi punya.”
“Bukan aku tak pujuk Anis, macam-macam aku dah buat. Tetap tak jalan.” Aku melepaskan keluhan kecil. Teringat di satu ketika aku mohon kebenaran dari Adam untuk terus bekerja. Adam tidak menjawab dan langsung tidak menghiraukan aku keesokan harinya. Aku pula yang terpaksa memujuk dirinya. Aku tidak faham apa yang membuatkannya tidak suka aku bekerja.
“Macam-macam?” Lain benar nada pertanyaan Anisah pada pendengaranku. “Boleh aku tau apa yang macam-macam tu?” Anisah ketawa. Aku garu kepala. Isk, kenapa pula ngan minah ni?
Lama aku terdiam. Terasa panas wajahku kala aku faham apa yang dimaksudkan oleh Anisah.
“Kau ni otak kuning betullah,”ucapku sedikit terjerit. Ketawa Anisah bertambah kuat.
“Jadi malam ni kau kenalah usaha lebih sikit tau. Biar berbaloi.” Anisah menyambung tawanya. Aku bertambah segan. Bukan apa, selama aku berkahwin dengan Adam hanya itu saja kewajiban sebagai isteri yang belum aku tunaikan. Aku belum bersedia dan Adam pun tidak pernah memaksaku.
“Melebih-lebih pula anak dara sorang ni. Dah tak sabar ke? Nanti aku bagitau kat Norman,”ugutku.
“Tak payah kau susah-susah nak bagitau. Dia tau yang aku ni dah gatal nak kahwin.” Aku geleng kepala namun ikut tertawa dengan jawapan Anisah. Cakap tak berlapik langsung.
“Teruk betullah anak dara Pakcik Ahmad ni.”
Dengan tawa yang masih bersisa Anisah kembali semula ke topik asal, “Tapi seriuslah Qila. Kitorang betul-betul perlukan khidmat pakar seperti kau. Lagipun sekarang ni banyak orang dah tempah nak buat event. Dengan kudrat aku, Sya dan Anum mana mampu nak selesaikan semua tu.”
“Nanti aku cuba ea. Tapi aku tak dapat nak janji apa-apa tau. Jangan mengharap sangat.”
Aku mengeluh lagi. Sehingga kini aku masih belum menyuarakan hasratku pada Adam.
Tiba-tiba aku dipeluk dari belakang. Aku sedikit terkejut tetapi wangian yang dipakai oleh Adam menghilangkan rasa terkejutku. Segera aku berpaling namun sekali lagi terkejut kerana melihatnya telah selesai mandi. Bila pula dia ni sampai? Aku garu kepala.
“Berat sangat ke masalah Hawa tu sampai Adam balik pun tak sedar?”soal Adam dan duduk di sebelahku. Aku tersengih.
“Hawa minta maaf. Betul-betul tak perasan tadi. Adam pun tak tegur Hawa masa sampai tadi.”
“Ingatkan siapa?”soal Adam lembut.
“Mana ada ingatkan siapa-siapa.”
“Owh, tak ingatkan Adamlah ni?”
“Taklah,”jawabku laju.
“Tak rindukan Adam?” Aku menggeleng.
“Langsung tak rindu?” Aku menggeleng lagi. Isk, janganlah tanya lagi.
“Betul?” Aku mengangguk.
“Okey.”Ringkas jawapan itu membuatkanku berpaling. Berkerut dahiku memandangnya. Okey? Suka sangat dia mematikan perbualan dengan perkataan itu. Apa-apalah Adam ni.
Adam berpaling, “Betul?” Kali ini tiada jawapan dariku. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Tiba-tiba dia meraih aku dalam pelukannya.
“Adam betul-betul rindukan Hawa. Setiap hari..,” bisiknya lembut di telingaku sebelum menghadiahkan ciuman di dahi dan kedua pipiku. Aku menelan liur. Tergamam dengan perbuatannya. Erm, masa ni aku kena buat apa ea? Isk...Adam. Janganlah macam ni.
“Err...Adam nak minum ke? Hawa ambilkan air ye.” Aku bingkas bangun.
Pantas Adam menarik tanganku sebelum aku sempat berlalu. Apalagi ni? Aku mula rasa berdebar.
“Duduklah dulu. Adam tak puas lagi tengok Hawa. ” Dengan rasa ragu-ragu aku mula duduk semula namun aku hanya tunduk. Tak mampu nak pandang mata Adam tu. Menggoda sangat. Menggoda? Teringat pesan Anisah sebelum sebelum berundur hari itu, “Jangan nakal-nakal tau.” Gulp! Aku tak nakal tapi Adam ni yang nakal.
Adam mengangkat wajahku dengan tangannya. “Hawa, Adam betul-betul cintakan Hawa sepenuh hati Adam. Sejak mula kita bertemu, Adam dapat merasakan yang Hawa akan jadi milik Adam. Setiap malam sebelum tidur, Adam mohon pada Allah agar panjangkan jodoh kita. Alhamdulillah, doa Adam makbul. Adam betul-betul berterima kasih kerana berpeluang menjadi sebahagian dari hidup Hawa biarpun Adam sedar bukan Adam yang ada dalam hati Hawa.”
Anak matanya ku pandang. Terpancar sinar keikhlasan pada wajahnya. Dan keikhlasan itulah yang membuatkanku makin serba salah. Debaran di dada mula bertukar rentak. Aku harap agar Adam tak mendengar degupan jantungku tika ini.
“Adam, Hawa pun bersyukur kerana Adam menjadi suami Hawa. Hawa sayangkan Adam tapi sayang itu masih lagi sayang seorang kakak pada adik. Bagi masa pada Hawa untuk menyayangi dan menerima Adam dengan ikhlas sebagai suami Hawa.”
Terdengar keluhan Adam. Dia hanya mengangguk lemah. “Adam akan sentiasa tunggu Hawa. Kerana Hawa memang tercipta untuk Adam.” Aku terasa ingin menangis kala Adam kembali meraihku dalam pelukannya.
“Hawa masih ingatkan Abang Hakim?” Aku tersentak. Teringat kembali panggilan Hakim beberapa minggu lalu. Hanya sekali Hakim cuba menghubungiku. Perlukah aku maklumkan pada Adam mengenai panggilan itu? Mungkin ini bukan masa yang sesuai.
“Adam, bohonglah jika Hawa katakan yang Hawa telah lupakan semuanya tentang Hakim. Dia hampir jadi sua...” terhenti kata-kataku. Terlukakah dia jika aku teruskan? Perlahan pelukan dileraikan. Renungan matanya seperti meminta aku untuk meneruskan kata yang terhenti.
“Dia hampir jadi suami Hawa dan selama ini itu yang Hawa harapkan. Tetapi setelah dia tinggalkan Hawa hari itu, Hawa yakin yang dia bukan milik Hawa. Setelah Adam lafazkan akad, Hawa sudah berjanji dengan diri yang Hawa akan lupakan semua tentang Hakim.”
Walaupun Hawa sebenarnya tidak mampu. Ayat itu hanya terlafaz dalam hati.
Adam tersenyum namun senyumnya tawar.