Thursday, December 12, 2019

McDonald’s Sumbang Lebih RM600,000 Untuk Rakyat Sabah

Sejumlah RM622,800 disumbangkan oleh McDonald’s Malaysia melalui Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Sabah untuk meringankan beban golongan memerlukan di negeri ini. Inisiatif-inisiatif yang diumumkan termasuklah penyerahan zakat perniagaan bagi tahun 2019, penyerahan sijil pelantikan kepada pelatih Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s, dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah”.

SEMPORNA, 10 Disember 2019 – McDonald’s Malaysia mengukuhkan pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya melalui penganjuran Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Sabah, hari ini. Sumbangan sebanyak RM622,800 diumumkan oleh restoran khidmat segera tersebut bagi meringankan beban golongan masyarakat yang memerlukan di negeri ini melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan. 

Program Komuniti McDonald’s bantu golongan memerlukan di Sabah melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan

Penyampaian sumbangan bagi Program Komuniti ini diadakan di restoran terbaharu McDonald’s di Sabah, iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Semporna. Antara inisiatif-inisiatif kemasyarakatan yang diumumkan termasuklah, pembayaran zakat perniagaan McDonald’s, pelantikan belia-belia dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyertai SLDN McDonald’s dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah” kepada kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah. 

“Mewujudkan impak positif kepada masyarakat merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia. Sebagai sebuah syarikat korporat yang mempunyai reputasi kukuh di negara ini, kami amat berharap dapat memainkan peranan kearah kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi melibatkan golongan masyarakat memerlukan di sekitar lokasi operasi kami,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia. 

Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia menyatakan komitmen McDonald’s Malaysia kearah mewujudkan impak positif kepada masyarakat, lebih-lebih lagi di sekitar lokasi operasinya.
“Semoga pembukaan restoran terbaharu kami di Sabah ini membuka peluang pekerjaan dan ruang kearah pembangunan bakat, khususnya mereka yang tinggal di Semporna. Di samping merancakkan lagi ekonomi negeri, besar harapan kami agar pengembangan perniagaan kami di Sabah membolehkan kami meringankan beban lebih ramai golongan masyarakat kurang bernasib baik di negeri ini,” tambah Azmir lagi, yang juga merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia. RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia. 

YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah merupakan tetamu kehormat yang hadir di majlis ini.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah ketika menyampaikan ucapan beliau di Majlis Penyampaian Sumbangan Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Sabah.
“Sumbangan McDonald’s Malaysia menerusi Program Komuniti mereka adalah sesuatu yang wajar dipuji. Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pengembangan perniagaan McDonald’s di Sabah dan usaha mereka kearah kesejahteraan rakyat merupakan nilai tambah yang cukup bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri. Semoga lebih banyak program-program untuk masyarakat melibatkan syarikat-syarikat korporat seperti McDonald’s dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” kata YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie. 

Agihan Zakat Perniagaan McDonald’s Malaysia 

(dua dari kanan) Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia ketika menyerahkan bayaran zakat perniagaan McDonald’s Malaysia bagi negeri Sabah untuk tahun 2019 kepada (dua dari kiri) Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Dr Haji Hasbullah bin Haji Mohd Taha, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS), sambil disaksikan oleh (tiga dari kiri) Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah.
McDonald’s Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Sabah untuk tahun 2019 dengan bayaran zakat berjumlah RM101,000. 

McDonald's Malaysia baru-baru ini turut menerima Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima sijil pengiktirafan tersebut di Malaysia. 

"Sebagai sebuah entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ianya merupakan tuntutan agama untuk kami mengeluarkan zakat apabila cukup haul untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan. Kami telah membayar zakat sejak tahun 2017 setelah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd. iaitu sebuah anak syarikat Reza Group dari Arab Saudi," kata Azmir. 

Inisiatif Pekerjaan Untuk Belia Melalui SLDN McDonald’s 

(tiga dari kiri) Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Shuryani binti Datuk Haji Shuaib, isteri Ketua Menteri Sabah; (tiga dari kanan) Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah dan (dua dari kanan) Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia ketika upacara pembukaan rasmi McDonald’s Pandu-Lalu Semporna, yang merupakan restoran McDonald’s pertama di daerah itu.
Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah. Program yang ditaja sepenuhnya ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia – salah satu usaha restoran khidmat segera itu untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu, sejajar dengan agenda negara. 

"Kami teruja untuk mengalu-alukan para belia dari negeri Sabah untuk menyertai program latihan kami ini. Diharap melalui program ini, belia yang terpilih akan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri dan memulakan karier yang menjamin masa depan seterusnya meningkatkan status ekonomi keluarga masing-masing," kata Azmir. 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah ketika menandatangani plak perasmian McDonald’s Semporna, sambil disaksikan oleh Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.
Program ini adalah sebahagian daripada Program Komuniti McDonald’s yang dianjurkan untuk belia daripada golongan kurang berkemampuan. Sebaik sahaja para pelatih lulus penilaian dan ujian akhir program ini, mereka layak bekerja di restoran McDonald's. Setakat ini, terdapat 650 pelatih sedang menjalani SLDN McDonald’s. 

Setiap pelatih menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma. 

Program “Kembali ke Sekolah” 


Lebih 1,900 kanak-kanak dari 63 sekolah di seluruh negeri Sabah menerima pek “Kembali ke Sekolah” tahun ini. Program “Kembali ke Sekolah” adalah inisiatif tahunan yang diterajui oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Program “Kembali ke Sekolah” 2019 yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober lalu, merupakan yang terbesar setakat ini – dengan jumlah sumbangan mencecah RM3 juta bagi membolehkan seramai 30,000 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar di seluruh negara menerima pek "Kembali ke Sekolah" menjelang tahun persekolahan 2020. Ia bakal disampaikan secara berperingkat di negeri-negeri seluruh Malaysia sehingga penghujung tahun ini.

(kiri ke kanan) Shamsidar Yahya, Pengarah Komunikasi Korporat, McDonald’s Malaysia; Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Shuryani binti Datuk Haji Shuaib, isteri Ketua Menteri Sabah; Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah; Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan Yang Berusaha Tuan Benedict Asmat, Pegawai Daerah Semporna  menyerahkan pek ‘Kembali ke Sekolah’ kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah semasa Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Sabah. Lebih 1,900 kanak-kanak dari 63 sekolah rendah di Sabah menerima pek ‘Kembali ke Sekolah’ ini.
Pek "Kembali ke Sekolah" yang diagihkan mengandungi satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sepasang stoking dan beg sekolah bernilai RM100. 

Pada tahun 2018, McDonald's Malaysia dan RMHC Malaysia telah menyampaikan pek "Kembali ke Sekolah" bernilai RM1.7 juta kepada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah. Tahun sebelum itu pula menyaksikan McDonald's dan RMHC membantu 6,000 pelajar menerusi jumlah sumbangan sebanyak RM1.2 juta. 

RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia yang bermatlamat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 atau layari https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/ jika anda berminat menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.

Latarbelakang McDonald’s

McDonald’s adalah rangkaian global perkhidmatan makanan melibatkan kira-kira 36,000 cawangan restoran di seluruh dunia dengan pelanggan lebih 70 juta sehari di lebih 100 buah negara. Sepanjang 37 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih daripada 290 restoran di seluruh negara. McDonald’s Malaysia mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya di seluruh negara dengan mewujudkan pelbagai peluang perkembangan karier, latihan dan pembangunan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcdonalds.com.my.

Latarbelakang RMHC 

RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. RMHC menjalankan empat program utama untuk menyokong teras Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan. 

Program-program ini ialah Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Program Pek Kembali ke Sekolah. Sejak 29 tahun lalu, RMHC telah memberi impak dalam kehidupan lebih 40,000 kanak-kanak melibatkan kesihatan, pendidikan dan kebajikan dengan pembiayaan lebih RM27 juta. Dana untuk program-program yang dijalankan diperoleh daripada sumbangan ikhlas individu menerusi tabung yang terdapat di sestoran-restoran McDonald’s dan juga tajaan serta sumbangan dari rakan korporat. Untuk maklumat lanjut mengenai RMHC, sila layari https://rmhc-malaysia.my/

No comments:

Post a Comment